MENGENALI PEGUAM HARTANAH
- syaraadleenprcco
- Jul 19, 2019
- 2 min read
Mungkin ini kali pertama anda berurusan dengan Peguam Hartanah, dan perkara pertama terlintas di dalam pemikiran anda adalah ‘Perlu ke aku ambil Peguam? Ish, takut lah!’ Ketahuilah bahawa artikel ini diharap dapat mengurangkan kegusaran dan membantu anda mengenali dan memahami tugas seorang Peguam Hartanah. Apatah lagi, tidak kenal maka tidak cinta, bukan?
Sebenarnya, bidang profesion guaman ini adalah sangat luas dan tidak semata-mata memakai hitam putih dan mengheret anda ke mahkamah sahaja, melainkan ada tuduhan dan tuntutan difailkan ke atas anda. Oleh itu, Siri Hartanah Syara Adleen kali ini ingin membawa anda mengenali siapa sebenarnya Peguam Hartanah dan kepentingannya kepada anda.
Undang-undang dan Peguam
Kalau sebut pasal undang-undang, semestinya ia sinonim dengan seorang Peguam yang mana kita mengharapkan telah pakar di dalam selok-belok perundangan. Begitu juga dalam urusan jual beli hartanah atau rumah atau premis atau tanah lot kosong sekalipun, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang yang perlu dipatuhi di Malaysia ini.
Betul, ianya memang kewajiban kita sebagai orang awam untuk mengetahui hal perundangan yang kita perlu patuhi, tetapi untuk mula semula dari A sehingga Z setiap kali hendak berurusan jual beli, anda perlu melabur bukan sahaja masa, wang, dan tenaga. Malahan sumber ilmu dan rujukan juga terhad. Tahukah anda, setiap urusan jual beli hartanah itu berbeza mengikut keadaan dan lokasi hartanah, serta pihak-pihak yang terlibat?
Maka, para peguam ini telah mempunyai pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang dan seterusnya dilatih selama 9 bulan sebelum bergelar Peguam bagi memastikan mereka telah cukup bersedia untuk membantu dan menerangkan kedudukan anda di dalam undang-undang Hartanah.
Sekiranya anda masih khuatir tentang kelayakan seseorang yang mengaku dirinya Peguam? Sebagai klien yang perlu mebayar caj perkhidmatan seorang Peguam, anda mempunyai hak untuk menyemak nombor keahlian seseorang Peguam itu di Badan Peguam Malaysia atau lebih dikenali sebagai The Malaysian Bar. Melalui laman web Malaysian Bar ini, anda boleh masukkan nama Peguam tersebut dan mendapatkan info tahun dimasukkan sebagai Peguambela dan Peguamcara, dan juga firma di mana Peguam ini beramal.
Peguam yang perlu anda cari sekiranya anda ingin membeli rumah adalah bergelar Peguam Hartanah, atau bahasa popularnya, Conveyancing Lawyer. Ya, anda tidak perlu ke mahkamah atau pun mencari mana-mana individu berpakaian hitam putih untuk mendapatkan maklumat mengenai Peguam Hartanah, kerana urusan Hartanah lebih kepada berurusan dengan Pejabat Tanah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kenapa anda perlu mencari Peguam yang pengkhususan di dalam bidang Hartanah? Jawapannya mudah. Ini kerana seorang Peguam Hartanah telah memilih bidang hartanah dan urusan jual beli rumah sebagai pengkhususan kemahiran mereka. Maka penumpuan pengetahuan Peguam ini dan juga pengalaman mereka beramal selama bertahun-tahun adalah di dalam urusan jual beli rumah! Peguam Hartanah tahu akan selok-belok urusan dan menjalani perkhidmatan jual beli hartanah dengan lebih cekap dan padu dalam tempoh masa yang berpatutan. Sekiranya urusan jual beli hartanah anda tidak dapat disempurnakan dalam tempoh masa yang singkat pun, sekurangnya Peguam Hartanah ini bertanggungjawab dan mampu untuk menjawab persoalan anda mengenai urusan jual beli hartanah dan rumah anda.
Sekarang anda sudah mempunyai pendedahan asas mengenai Peguam Hartanah, soalan seterusnya adalah apakah tips memilih dan melantik Peguam Hartanah untuk Jual Beli Rumah? Jangan lupa ikuti Slot Hartanah Syara Adleen di dalam Siri 2: Tips Memilih dan Melantik Peguam Hartanah pada setiap hari Selasa!

Комментарии